Kedudukan Saf Kanak-Kanak di Masjid

Soalan:
Assalammualaikum asatizah yg ana muliakan keranaNya.. Nak tanya Soalan, bagaimanakah kedudukan saf kanak kanak ketika berjemaah di masjid? Mohon penjelasan..

Jwpn drpd Ustaz Fauzi Thahir:

KANAK-KANAK DALAM SAF DEWASA:

Bila kanak-kanak "turut sama solat, susunannya menurut riwayat dari Abdullah ibn Mas’ud Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

Maksudnya: “Hendaklah berdiri mengiringi di belakang aku orang yang sudah baligh dan berakal, kemudian mereka yang berikutnya, mereka yang berikutnya. Jaga-jagalah kamu dari hingar-bingar seperti pasar”.
(Hadith Riwayat: At-Tirmizi)

Menjelaskan hadis ini lihat pula hadis berikut riwayat dari Abu Malik Al-Asy’ari:

“Adalah Rasulullah صلى الله عليه وسلم mengatur saf dewasa lelaki di hadapan kanak-kanak. Saf kanak-kanak di belakang lelaki dewasa dan saf perempuan di belakang kanak-kanak”.
(Hadith Riwayat: Ahmad).

Hadis di atas diambil menjadi hujah dan dalil nas syarak bahawa hendaklah meletakkan kedudukan kanak-kanak dalam solat berjemaah di belakang lelaki dewasa dan di hadapan saf perempuan.

Imam Ahmad Bin Hanbal Rahimahullah mengatakan makruh berjemaah bersama kanak-kanak di belakang imam kecuali yang sudah baligh.
(Rujukan: Nailul Autar, 2:224)

Jumhur ulama' fiqh menghukumkan hendaklah mendahului lelaki dewasa kemudian kanak-kanak, kemudian khunsa dan kemudian perempuan. Inilah yang utama dan yang afdalnya.

(Lihat huraian dalam Kitab Al-Majmuk Syarah Al-Muhazzab, 4:291-293):

Namun, ada juga pandangan (satu wajah dalam mazhab) yang dinukilkan oleh beberapa orang ulama’ besar mazhab Syafi'e seperti; Sheikh Abu Hamid, Al-Bandaniji, Al-Qadhi Abu Al-Tayyib, Sahib al-Mustazhiri dan Al-‘Imrani (Sahib Al-Bayan) dan lain-lain:
“Sunat meletakkan kanak-kanak (yang sudah suci) itu diselang-seli dengan orang dewasa bagi mereka belajar melakukan solat”.

Penjelasan daripada Mughni al-Muhtaj:

Maksudnya: “Perbincangan tentang susunan saf itu adalah apabila jemaah datang serentak, tetapi sekiranya kanak-kanak datang awal, maka jangan diundurkan mereka untuk memberi tempat kepada orang dewasa yang baru datang, seperti itu juga kalau mereka lebih awal berada di saf awal, maka mereka lebih berhak menduduki tempat tersebut, menurut pendapat yang sahih.

Adapun dibelakangkan kanak-kanak daripada orang dewasa seperti yang diperkatakan oleh Al-Azraie apabila saf orang dewasa telah penuh, tetapi sekiranya terdapat kekosongan pada saf orang dewasa maka ianya diisi dengan kanak-kanak”.

Jelas daripada apa yang dikatakan oleh Imam Al-Khatib Al-Syarbini Rahimahullah ini, sekiranya mereka datang awal maka menjadi hak mereka tempat tersebut, demikian juga jika saf orang dewasa terdapat kekosongan maka saf tersebut perlu diisi dengan kanak-kanak. Tidak terdapat di sana saf yang dikhususkan kepada kanak-kanak.

Kecuali dibelakang imam, maka hendaklah diduduki oleh orang yang baligh (uli Al-Ahlam) dan cerdik /berilmu (An-Nuha), bukan kanak-kanak dan juga orang dewasa yang tidak berilmu, kerana orang yang berada di tempat tersebut ialah orang yang akan menegur atau mengganti imam apabila ada sesuatu yang tidak sempurna sebagaimana kisah Qais bin ‘Ubad dengan Ubai bin Ka’ab r.a.

Comments