Bacaan Qiiraat Jama Asas dan asalnya

BETULKAH BACA JAMA' QIRAAT TIDAK ADA ZAMAN NABI SAW DAN ZAMAN PARA SALAF?

Pelajar Qiraat mesti sedikit terkejut dengar persoalan ini. Saya sendiri pun terkejut ketika kali pertama tahu. Memang sebelum ini kita tidak didedahkan dengan perkara ini. Setengah daripada kita ini bukan setakat baca jamak qiraat sahaja, tapi ada juga yang sudah banyak kali khatam. Siap ada sanad baca jama' qiraat tertinggi di dunia أعلى السند على وجه الأرض , tetapi tidak tahu bagaimana ia boleh muncul.

Sebenarnya kita tidak ada kesungguhan nak cari asal-usul bagaimana timbulnya bacaan qiraat secara jama' ini. Orang buat, kita pun buat. Ini silap kita sebenarnya. Tapi jangan risau, tidak salah pun baca jama' qiraat tu.  Cuma sebaiknya kita tahu asal-usulnya. Tapi lepas tahu tu, jangan pula sibuk nak bidaahkan orang. Ok Jom kita kaji.

💡 Apa itu Jama' Qiraat?

Sebelum terangkan asal-usulnya, kita perlu tahu dulu apa itu jama' qiraat. Jama' qiraat ialah bacaan riwayat-riwayat qiraat yang dikumpulkan dalam satu bacaan dan dibaca dalam satu masa walaupun tanpa tadabbur dan memahami ayat tersebut. Biasanya orang akan kumpulkan bacaan 7 imam atau 10 imam qiraat dalam satu masa.

💡 Syarat Jama' Qiraat

Jama' qiraat mestilah tertakluk kepada syarat-syarat yang tertentu supaya tidak mengubah maksud ayat Al-Quran dan tidak terdedah kepada kesalahan bacaan setiap riwayat.

Imam Ibnul Jazari dalam matannya طيبة النشر  menyebut ada empat syarat yang perlu diikuti oleh setiap pembaca jama' qiraat:
[بشرطه فليرع وقفا وابتدا # ولا يركب وليجد حسن الأدا]

1- Penjagaan terhadap tempat waqaf dan ibtida'.
2- Bacaan yang baik dari segi tajwid.
3- Tidak bercampur antara riwayat dengan riwayat yang lain.
4- Mengikut tertib susunan imam qiraat. (Tidak wajib ikut tapi sebaiknya ikut supaya mudah untuk pengecaman bacaan sesuatu riwayat)

💡 Bagaimana boleh timbulnya Jama' Qiraat?

Pada zaman Nabi SAW, para sahabat, tabiin, tabi' tabiin (salafussoleh) tidak wujud bacaan Al-Quran secara jamak kerana pada waktu itu, mereka hanya baca satu riwayat sahaja.

Jama' qiraat yang dibaca sekarang tidak diketahui oleh para Salaf kerana bermula timbulnya jama' qiraat pada kurun ke-5 hijrah. Pada waktu tersebut ramai juga ulama' yang tidak bersetuju dengan jama' qiraat ini kerana ia tidak dibuat oleh para salaf.

Walaubagaimanapun kebanyakan qurra' pada waktu tersebut beramal dan bersetuju dengannya. Para qurra' bertallaqi dengan cara tersebut. Tetapi dengan syarat seseorang itu mestilah mengetahui cara bacaan setiap riwayat dan hukum-hakamnya.

Antara sebab ulama' mengumpulkan bacaan qiraat ialah seperti yang dinyatakan oleh Imam Ibnul Jazari:
"Antara perkara yang menjadi penyebab munculnya jamak qiraat ialah kerana lemahnya semangat manusia dan bertujuan untuk talaqqi yang cepat".

Asal-usulnya, penuntut ilmu qiraat pada akhir zaman salaf berasa sedikit sukar untuk baca qiraat setiap satu riwayat dengan sekali khatam tanpa kumpulkan dengan riwayat qiraat lain. Perkara ini mengambil masa yang lama dan menyebabkan lemahnya semangat para penuntut. Lalu menyebabkan semakin berkurang orang yang belajar ilmu qiraat sedangkan belajar ilmu qiraat ialah fardhu kifayah. Jika tidak ada yang belajar, seluruh umat Islam perlu menanggung dosa tersebut.

Oleh sebab itulah, para ulama' pada zaman tersebut berijtihad dengan membenarkan baca jama' qiraat (kumpul banyak riwayat) dalam satu masa walaupun ia tidak dibuat oleh para salaf. Tetapi mestilah tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan. Setelah itu, orang kembali ramai belajar qiraat kerana ringan dan mudah untuk mempelajarinya.

💡 Kesimpulan

Melakukan perkara yang tidak dibuat pada zaman Nabi SAW atau zaman para salaf tidak semestinya salah selagimana tidak bercanggah dengan syara'. Ijtihad ulama pada zaman tersebut untuk maslahah umat Islam seluruhnya. Kesannya kita dapat rasakan sehingga sekarang.

Ramainya orang yang belajar qiraat zaman sekarang sehingga sampai tahap mustahil setiap riwayat qiraat dapat dipesongkan. Begitulah Allah menggerakkan hati hamba-hambaNya yang terpilih untuk menjaga kitab-Nya.

Wallahu a'lam

Ahmad Fikri Ihsan bin Mohd Khairuddin
Tanta, Mesir

Rujukan:
- كتاب محاضرات في التحريرات والعزو - أ. د. بشير أحمد أحمد دعبس

Comments