Khilafah Isis ulasan tuan guru haji hadi

ULASAN TG ABDUL HADI AWANG (AYAH CHIK) MENGENAI JIHAD ISIS YG DI SYIRIA DAN IRAQ YG MENGELURUKAN UMAT ISLAM

Oleh Alang Ibn Shukrimun
(BAHAGIAN 2)

Berhubung dengan isu pengisytiharan khilafah Islamiah yang membelenggu hari ini, Ayah Chik kaitkan tindakan ISIS itu sama dengan apa yang pernah berlaku di Afghanistan dan Iraq. Kumpulan bersenjata Islam yang kurang berilmu tetapi bersemangat lebih untuk berperang dengan mudah digunakan oleh Amerika dab Zionis untuk menjalankan misinya.

"Mula-mula dia biaya kumpulan itu untuk turut berperang. Lepas itu dia serang pula kumpulan itu" terang Ayah Chik.

Apabila golongan yang tidak faham Islam ini berjuang, mereka akan kelihatan ganas dan jahat dengan tindakan-tindakan kejam yang tidak menepati syarak. Kemudian ia dirakam secara terancang oleh media. Selepas rakaman ini tersebar kepada masyarakat dunia (seperti video umat Islam menyembelih orang kafir), masyarakat mulai marah terhadap Islam yang sebenarnya bukan dari ajaran Islam. Lalu Amerika dan konconya akan menawarkan diri sebagai hero untuk campurtangan ke dalam Iraq dan Afghanistan, dengan alasan memerangi pengganas.

"Ikut mana pun kita mesti ada fiqh. Nak solat kena ada fiqh, nak puasa ada fiqh, haji, muamalah termasuklah politik dan jihad". Tegas Ayah Chik yang terkenal dengan sikap Istiqamahnya belajar dan mengajar.

Syeikh Usamah juga dalam pertemuan dengan Ayah Chik apabila mendengar ada rakyat Malaysia yang pergi berjihad di Syria, dengan nada marah Syeikh berkata:
"Kami tidak berhajat kepada pertolongan rijal (tenaga perang). Adapun dalam bentuk kewangan dan kebajikan, maka ia tidak menjadi masalah".

Ini kerana perang di Syria sudah lebih dari sekadar melawan kerajaan. Ia menjadi medan perang sesama umat Islam dari pelbagai negara.

Kami terus berbicara melewati satu persatu isu politik negara-negara Timur Tengah. Sungguh kagum dengan lautan maklumat dan idea Ayah Chik.

"Barat tidak akan menumpukan untuk memerangi Iran. Mereka tidak takut kebangkitan Iran sebab mereka tahu Iran tidak akan berjaya mempengaruhi kebangkitan negara arab lain (kerana sentimen Sunni-Syiah). Tapi kalau kebangkitan berlaku di Negara Sunni, ini yang ditakuti. Sebab itu Mesir, Libya, Turki, Syria sampai hari ini sentiasa dikacau."

"Tapi Yaman dia masih belum mampu kuasai dengan baik walaupun pergolakan telah berlaku. Walaupun pemerintah mereka Syiah Zaidiah, ia tidak menjadi sebab untuk mereka bermusuh. Lihatlah Imam Syaukani, San'ani. Mereka lebih dekat (atau dikaitkan) dengan mazhab Syiah Zaidiah tetapi masih disanjung sebagai ulama' hebat yang berijtihad dengan dalil yang diakui syarak. Ramai kalangan Sunni yang mengiktiraf pendapatnya."

Ayah Chik selalu sebut dalam ucapannya, Syiah Zaidiah merupakan salah satu antara 8 mazhab fiqh yang diputuskan sebagai paling dekat dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan masih dikira Ahlul Qiblah. 7 selainnya ialah mazhab Hanafi, Maliki, Syafie, Hanbali, Zhohiri, Syiah Zaidiah, Syiah Imamiah, Dan Khawarij Ibadhiah.

Sekarang ini baru terfikir kehebatan pendekatan Sultan Salahuddin Ayub ketika membebaskan Mesir dari kerajaan Fatimiyyah. Beliau tidak membuang semua mazhab Fiqh Syiah dari Universiti Al-Azhar, sebaliknya menjadikan buku-buku fiqhnya sebagai antara matapelajaran yang perlu dipelajari. Universiti dibebaskan dari taksub bermazhab.

Hasilnya, pelajar akan mendapat maklumat secara adil, dan mampu untuk membuat perbandingan sendiri dengan mazhab-mazhab fiqh lain untuk mencari pandangan yang paling benar.

Pendekatan ini bukan sahaja hampir melenyapkan kesesatan Syiah di Mesir, bahkan akhirnya menyatukan kembali umat Islam sedunia sehingga tertubuhnya Khilafah Islamiah ketiga selepas generasinya.

Kalau Ayah Chik dah buka cerita politik, pasti dia akan kebarkan kembali lipatan sejarah kerana keduanya amat berkait rapat. Zaman hari ini adalah cerminan sejarah lampau. Ayah Chik bawa isu Arab Spring seawal kejatuhan Khilafah lagi.

Teka-teki berkenaan kerajaan Arab Saudi yang pelik pendiriannya dalam Isu Arab Spring yang turut membelenggu fikiranku juga terjawab.

Rupanya negara itu adalah rakan karib Amerika yang amat rapat. Segala pendirian berkenaan isu mazhab tak lebih sekadar mainan politik semata-mata.

Sejarahnya bermula apabila keluarga Saud dijanjikan sebuah kerajaan oleh Zionis, jika mereka berjaya pisahkan negara Teluk dari naungan Khilafah Turki. Waktu itu Najd dan Hijaz diperintah oleh sultan yang berbaiah kepada Khalifah.

Keluarga Saud memperdaya kumpulan Wahabi yang ketika itu lantang memerangi perkara khurafat dan bidaah. Mereka sama-sama berperang dengan kerajaan Uthmaniah dan akhirnya bebas dari naungan Uthmaniah lalu membentuk persempadanan baru dengan nama Arab 'Saudi'. Negara-negara teluk yang lain dibahagikan kepada puak-puak yang bersekongkol dengan keluarga Saud.

"Jamaluddin al-Afghani, pernah menjalankan gerakan memulihkan semula pengaruh kerajaan Uthmaniah. Antaranya ideanya ialah membina jalan keretapi yang merentasi seluruh kekuasaan Turki Uthmaniah."

"Ternyata projek ini mampu menyatukan kembali orang-orang arab, Turki, Kurdi dan kaum lain. Tetapi ia tidak mampu bertahan lama apabila Lawrence menghasut pakatan Saudi, mereka letupkan jalan-jalan keretapi itu". Khabar Ayah Chik dengan nada sedikit kesal. Suaranya juga serak.

Sehingga hari ini, pendirian Saudi hanya mengikut kata Barat. Semasa berlaku kemelut di Mesir, Saudi mengisytihar bahaya gerakan Syiah. Yang kurang cermat dalam politik menyokongnya termasuk Dr Qardhawi diikuti Dr Mursi (dengan maaf), menyebabkan sokongan kaum syiah hilang terhadap Mursi lalu akhirnya kerajaan Islam baru di Mesir jatuh. Sebelum ini Mursi hanya menang tipis dalam pilihanraya presiden.

Tapi dalam isu Yaman, Saudi menyokong kerajaan Yaman yang berfahaman Zaidiah. Di Syria pula, Saudi menyalurkan senjata kepada revolusioner secara senyap. Pening kepala dibuatnya.

Ayah Chik antara watak penting dalam rundingan menangani isu di Timur Tengah. Dia juga terlibat mempertahankan Iraq dari campur tangan tentera Amerika sewaktu kejatuhan Saddam. Dia menceritakan bagaimana pendirian wakil Saudi dalam sebuah persidangan berkenaan isu tersebut:

"Tak mengapa kita minta tolong dengan Amerika untuk bantu selesaikan konflik dalaman negara arab. Kita qiaskan dengan kes apabila rumah kita dimasuki pencuri dan jiran kita adalah Yahudi dan Kristian. Tak mengapa memohon pertolongan mereka untuk memberkas pencuri itu."

Ayah Chik bidas kembali wakil Saudi itu: "Masalahnya jiran kamu itu adalah perompak!".

Kelakar juga ulama' kebanggaan dunia ini. Kelakar campur tegas, setegas pendiriannya terhadap perlaksanaan undang-undang syariah di Malaysia.

"Dengan apa yang berlaku hari ini, ramai rakyat Iraq (yang dahulunya membenci Saddam) mengharapkan Saddam masih hidup." Kawan arab cuba mencelah.

Ayah Chik mengangguk dengan senyuman keyakinannya, lalu membacakan sebuah Hadis Nabi:

"Sesungguhnya Allah menolong agamaNya melalui lelaki yang jahat." Dalam maksud hadis riwayat Syaikhan ini.

"Zaman terbaik kerajaan Saudi adalah di bawah pemerintahan Malik Faisal. Waktu itu Syeikh Bin Baz dilantik sebagai mufti. Saya sendiri diberi peluang mengajar di Masjidil Haram kepada jemaah haji Malaysia." Ayah Chik begitu asyik membelek-belek nostalgia sejarahnya.

"Duta Malaysia pernah berjumpa dengan pihak Universiti tempat saya belajar, minta supaya pelajar Malaysia yang ingin diterima masuk belajar mestilah mendapat kelulusan kedutaan terlebih dahulu. Mereka kata sebab tak mahu pelajar kita terlibat dalam politik.

"Jawab pihak Universiti; Sebenarnya, tiada pemisah antara agama dan politik!" Ayah Chik penuh semangat terus bercerita.

"Tapi Malik Faisal dibunuh kan?" Tanya seorang rakan arab.

"Ya, dibunuh oleh anak saudaranya sendiri." Jawabnya.

Banyak lagi rasanya isu yang kami sentuh. Kawan-kawan arab mendengar penuh khusyuk sambil menyampuk sekali sekala.

"Semoga Allah mengurniakan jalan keluar dari semua ini." Doa rakan arab.

"Inilah dia jalan keluarnya!". Pintas Ayah Chik sambil tersenyum. Kami terpinga-pinga dengan maksud kata-katanya.

"Kelahiran (yang menggembirakan) mesti melalui jalan yang sakit". Tambah Ayah Chik. Barulah kami faham.

Al-Quran sudah menceritakan perkara ini lama dulu. Sebelum umat Islam menang, tuhan janjikan dulu ujian peringkat demi peringkat sehingga mereka rasa sudah habis daya dan upaya menuntut janji kemenangan. Lalu Allah Jawab: "Ketahuilah, pertolongan Allah telahpun dekat!" [Al-Baqarah:214]

Ziarah yang asalnya bertanya khabar dah jadi Liqa Fikr. Itulah Ayah Chik kalau nak kenal. Suka bercerita dan berkongsi apa yang dikepalanya.

Kalau tuhan izinkan, setiap masa aku ingin dampingi Ayah Chik untuk mencedok segala mutiara yang terpendam di lubuk pemikirannya. Beruntungnya anak-anak menantu beliau.

Dengan pemergian seorang demi seorang ulama' sezaman dengannya, lagilah rasa sayang untuk meninggalkan beliau begitu saja. Tapi apakan daya, beliau bukan milik kami sahaja.

Aku terpaksa minta izin untuk beredar dahulu apabila ada tetamu lain yang datang berziarah. Ku sambar tangannya sekali lagi tanda perpisahan buat sementara. Tangan penuh jasa itu aku cium mengharapkan ini bukan kali yang terakhir.

Semoga Allah temukan lagi kami kembali. Aminn

Comments